Catatan Rohani, Kehidupan

Al-Quran – Tadabbur Tanda Orang Beriman

Dalam surah Al-Hadid terkandung beberapa ayat yang menerangkan perkara yang menjadikan orang beriman ni berbeza dengan mereka dari golongan munafik. Dan dalam firman Allah ini juga terkandung perjanjian antara kita, manusia dengan Yang Maha Pencipta Allah azza wajala. Salah satu perkara adalah berkaitan penurunan Al-Quran itu sendiri. Apakah tujuan Al-Quran diturunkan? Tidak lain tidak bukan untuk diambil pengajaran serta dijadikan panduan hidup. Bagaimana nak jadikan panduan? Tentulah dengan mentadabbur ayat-ayat di dalam Al-Quran.

Al-Quran Tadabbur Tanda Orang Beriman

Secara asasnya ramai di antara umat Muslim mengaku yang mereka beriman kepada Allah dan Rasulullah saw. Kita percaya yang seluruh alam ini malah diri kita sendiri adalah ciptaan Allah subhanahu wataala. Ini di satu peringkat asas. Tapi sejauh mana kita benar-benar percaya dan yakin dengan setiap perjanjian yang telah Allah beritakan di dalam Al-Quran Al-Karim? Malah sejauh mana kita yakin dan percaya dengan Rasulullah serta ajaran baginda?

Dalam ayat ke-8 Surah Al-Hadid:

وَما لَكُم لا تُؤمِنونَ بِاللهِ ۙ وَالرَّسولُ يَدعوكُم لِتُؤمِنوا بِرَبِّكُم وَقَد أَخَذَ ميثٰقَكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah padahal Rasul menyeru kamu supaya kamu beriman kepada Tuhanmu. Dan sesungguhnya Dia telah mengambil perjanjianmu jika kamu adalah orang-orang yang beriman

Dalam ayat di atas, Allah memberi teguran kepada kita dengan keras, kenapa kita masih berdegil dan tidak mahu beriman dan berpegang pada janji yang kita akan mengikuti semua suruhan Allah serta mematuhi segala ajaran Rasulullah. Jika kita masih ragu-ragu dengan janji Allah maka ada kepincangan dalam keimanan kita. Inilah perkara yang sepatutnya kita risaukan.

Al-Quran Tadabbur Tanda Orang Beriman

Bagaimana nak menjadi mereka yang beriman?

Orang yang beriman menjadikan Al-Quran sebagai cahaya petunjuk dan penunjuk jalan dalam kehidupan mereka. Mereka membaca, mentadabbur, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran sepenuhnya. Allah menurunkan Al-Quran sebagai pembuka jalan buat orang yang beriman. Al-Quran bertindak sebagai cahaya yang mengeluarkan manusia dari kegelapan (zulmat) seperti mana yang tertulis di dalam ayat ke-9: Al-Hadid

هُوَ الَّذي يُنَزِّلُ عَلىٰ عَبدِهِ ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ لِيُخرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۚ وَإِنَّ اللهَ بِكُم لَرَءوفٌ رَّحيمٌ
Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang (Al-Qur’an) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu.

Mereka yang beriman akan berusaha untuk mempelajari Al-Quran. Mempelajari di sini bermaksud bukan sekadar untuk memperbaiki bacaan (tilawah) dengan belajar ilmu tajwid dan taranum. Tetapi aspek yang lebih utama adalah dengan memahami isi kandungan Al-Quran itu sendiri. Untuk memahami isi kandungan Al-Quran itu, sebaik-baiknya perlulah berguru. Sejak sebelum PKP lagi, sebenarnya banyak sahaja kelas-kelas tafsir dan tadabbur terdapat di medan online. Sesuai dengan keadaan semasa, jika tidak dapat bertalaqqi secara fizikal, menghadirkan diri secara istiqamah dalam kuliah online juga sangat digalakkan.

Al-Quran Tadabbur Tanda Orang Beriman

Perlu untuk kita berguru ketika mempelajari dan memahami kitab suci Al-Quran. Satu kerugian besar jika kita hanya membaca terjemahan dan menafsir sendiri. Dengan kekurangan ilmu malah adanya hasutan syaitan, tidak mustahil pemahaman kita akan digelincirkan. Dalam Al-Quran terdapat ayat yang boleh difahami secara terus namun ada juga ayat yang memerlukan penafsiran yang lebih mendalam.

Tadabbur tu apa? Maksud tadabbur itu adalah berfikir, merenung serta memerhati ayat-ayat Al-Quran untuk memahami dan mengetahui makna serta hikmahnya. Malah mentadabbur juga bermaksud kita melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan yang telah Allah tetapkan sepertimana yang tertulis di dalam kitabNya. Tadabbur dapat menyingkap rahsia, mukjizat dan tuntutan sebenar al-Quran.

Tidaklah mentadabbur ayat itu melainkan dengan mengikut ajaranNya

Imam Hassan Al-Basri

Kewajipan untuk kita mentadabbur ayat Al-Quran ada termaktub di dalam Surah Muhammad ayat ke-24

أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها
Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?

Manusia perlu melakukan tadabbur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran secara mendalam agar petunjuk yang diberikan Allah SWT dalam kitab suci al-Quran al-Karim itu dapat memperteguhkan keimanan kita kepada Allah SWT. Di samping itu, penelitian dan tadabbur terhadap ayat suci al-Quran al-Karim akan menginsafkan betapa kerdilnya manusia dan betapa Agung-Nya Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *